DALAM tempoh enam bulan, tiga kali penyanyi kelahiran Lebanon, Maher Zain, berkunjung ke sini. Jika dua persembahan terdahulu lebih kepada promosi album selain acara kebajikan, kunjungan kali ketiga Maher Zain lebih istimewa kerana mengadakan persembahan skala besar untuk Maher Zain Live in Concert 2011 di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 25 dan 26 Februari.
Konsert anjuran Inteam Records Sdn Bhd, Fiero Sdn Bhd dan Awakening Entertainment dari United Kingdom ini turut memilih akhbar nombor satu, Harian Metro, sebagai media rasmi.
Untuk konsert kali ini, Maher tiba di Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu dan dalam kesibukan menyertai latihan bersama barisan pemuzik pengiring yang diketuai Eddie Marzuki selaku pengarah muzik, Maher meluangkan masa singgah di Balai Berita, Selasa lalu untuk menyempurnakan majlis penyerahan tiket kepada pemenang peraduan konsert yang dianjurkan Harian Metro.
Orangnya peramah dan merendah diri apabila tidak keberatan melayan peminat yang ingin bergambar dengannya walaupun jadualnya agak padat menjelang konsertnya. Sebagai tanda percaya terhadap pemuzik Malaysia juga, Maher hanya membawa pemain dram dan peniup seruling selain dua rakannya, Iffan Makki dari Kanada dan Mesut Kurtis (Macedonia) bagi mewarnai lagi konsertnya
Setiap kali penyanyi yang kini menetap di Sweden itu datang, sambutannya cukup baik. Sememangnya, orang kita suka sangat mengalu-alukan kedatangan penyanyi luar hingga ada artis kita kecil hati kerana mereka sukar mendapat peluang mengadakan konsert. Pelbagai masalah dihadapi apabila tiada penaja hingga ada yang sanggup keluar duit sendiri untuk hiburkan peminat.
Artis yang datang bukan saja dari jauh seperti Amerika Syarikat, England, Korea, Jepun, Hong Kong, Taiwan malah negara jiran, Indonesia dan Singapura.
Buktinya, hari ini, genap dua bulan kita masuk tahun 2011 dan kita sudah menerima kehadiran tiga artis Korea untuk Konsert K-Pop, Deftones dan Mary J Blige. Selepas ini, Michael Buble akan datang pada Mac, Justin Bieber (April) dan tentunya ramai lagi.
Itu belum lagi April nanti apabila persembahan sempena Minggu Setiausaha, mungkin penganjur akan mengundang penyanyi dari Indonesia seperti tahun-tahun sebelum ini.
Kita cukup terbuka menerima kehadiran mereka, mungkin juga kerana rasa kekosongan dalam jiwa hingga kita menyukai karya luar. Kalau itulah puncanya, ia satu cabaran besar buat karyawan tanah air. Kalau karya kita sendiri begitu kuat di hati masyarakat kita, mungkin semua ini tidak akan berlaku dengan begitu terbuka sekali.
Tapi apa yang membezakan Maher Zain dengan penyanyi lain ialah lagu-lagunya membawa mesej yang baik dan bukan sekadar berhibur. Jadi, memang bagus kita mengalu-alukan kedatangannya. Maher juga tidak letak harga tinggi, hingga beberapa kali datang ke sini.
Fenomena ditimbulkan Maher juga cukup luar biasa apabila album sulungnya, Thank You Allah, mencatat jualan membanggakan dengan lapan kali platinum. Ia sesuatu yang mustahil dinikmati penyanyi tempatan dalam situasi jualan album fizikal tidak memberangsangkan ketika ini.
Anak-anak kecil suka lagu-lagunya hingga hafal lirik lagu-lagunya seperti Insya Allah, Thank You Allah dan Barakallahu Lakuma. Bagi pendengar dewasa, ada lagunya yang punya mesej perjuangan, Palestine Will Be Free dan Maher juga ada lagu cinta untuk peminat jiwang melalui lagu For The Rest Of My Life.
Semua lagu dari albumnya boleh didengar dan bukan hanya satu atau dua lagu saja. Tidak hairanlah hanya bersandarkan satu album, Maher Zain boleh buat konsert berskala besar hingga semua lagu-lagu dari albumnya dipersembahkan pada malam itu bermula dengan Always Be There sebagai pembuka persembahan. Ulasan lanjut konsert ikuti muka tengah hari ini.
Sebagai menghargai sokongan peminatnya di sini, Maher turut merakamkan lagu Insya Allah dalam versi Melayu dan ia disampaikan buat kali pertama di hadapan peminatnya, malam itu. Malah Maher Zain juga memperdengarkan satu lagu baru, Freedom yang diilhamkan perjuangan saudara Islam di Tunisia, Mesir dan Libya.
Maher juga bersedia menyampaikan lagu yang diminta penonton hinggakan lagu For The Rest Of My Life dinyanyikan dua kali, begitu juga Freedom. Itu belum cukup baik kerana Maher Zain menyampaikan lagu Insya Allah tiga kali sepanjang konsertnya dengan versi asal, versi Melayu dan dwi-bahasa duet bersama vokalis Padi, Fadly.
Seorang penyanyi popular yang duduk berhampiran saya sempat mengulas sebelum keluar dari dewan malam itu. Katanya, pertama kali dia menyaksikan penyanyi menyampaikan satu lagu sampai tiga kali dalam satu konsert.
Selepas ini apabila album barunya, siap selewat-lewatnya pertengahan tahun ini, Maher yang genap usia 30 pada 16 Mac ini akan datang lagi untuk promosi diikuti undangan menjayakan persembahan. Apapun, buat seketika, Maher akan berehat kerana menanti kelahiran anak pertama yang dijangka lahir April ini. Tentunya, persembahan dua hari di Shah Alam menjadi kenangan manis buat peminatnya.